Wednesday, March 6, 2013

#Nota 14 (petua belajar bahasa inggeris)


PETUA 2


Mari kita mulakan dengan petua yang pertama. Petuanya ialah 'kegagalan atau kelemahan anda pada masa yang lalu bukanlah petunjuk kepada kebolehan diri anda'. Bagi penulis, jika anda mahu memajukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris anda, petua pertama ini adalah petua yang paling penting. Mengapa?


Penulis percaya, halangan utama untuk menguasai subjek Bahasa Inggeris bermula di dalam minda anda. Jika selama ini anda lemah dalam subjek ini, selalu gagal dalam peperiksaan atau mendapat gred yang tidak memuaskan, selalu diketawakan apabila berbahasa Inggeris dan selalu tertekan apabila berada di dalam kelas Bahasa Inggeris, anda akan hadapi kesukaran untuk menguasainya.


Selalunya, jika tahap penguasaan bahasa Inggeris anda lemah, anda pasti ada masalah keyakinan diri untuk mempelajari subjek ini. Anda juga akan hilang keinginan untuk mempelajarinya kerana anda percaya bahawa anda memang tidak berbakat dan tidak mungkin menguasainya. Satu berita baik untuk anda, seperti yang penulis kata pada awal petua ini, kegagalan yang lepas bukanlah kebolehan sebenar anda. Menurut satu kajian, otak manusia mempunyai kebolehan untuk mempelajari 12 bahasa tanpa sebarang masalah. Masalahnya cuma terletak pada minda. Anda mungkin selalu memandang rendah pada kebolehan diri sendiri. 


Begini. Mulai hari ini, apabila anda mahu belajar Bahasa Inggeris, lupakan kegagalan anda yang lalu. Bayangkan suatu ketika pada masa akan datang. Bayangkan anda sudah biasa bertutur dalam Bahasa Inggeris. Bayangkan anda sedang berbual-bual dalam bahasa Inggeris dengan beberapa pelancong daripada Eropah. Bayangkan betapa seronoknya apabila anda dapat bertutur dalam bahasa ini dengan begitu lancar dan mudah.


Mulai hari ini, apabila anda mahu membaca sesuatu dalam bahasa Inggeris, bayangkan dahulu yang anda memang sudah biasa menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian anda. 


Mulai hari ini, apabila anda berdiri di hadapan cermin, cuba senyum dan bayangkan yang anda sedang bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan lancar. Anda tidak perlu menyebut apa-apa langsung. Anda cuma perlu senyum, jangan berkata apa-apa dan bayangkan yang anda sedang berbicara dalam bahasa Inggeris.


Bunyinya mungkin pelik tetapi jika anda lakukan beberapa kali dengan bersungguh-sungguh, anda akan mula rasa keyakinan diri anda meningkat. Apabila keyakinan diri ini meningkat, akan timbul keinginan dalam diri anda untuk terus berusaha memajukan tahap penguasaan bahasa Inggeris anda.


Selamat Mencuba. 
 

p/s: belajar dengan cara yang betul dan usaha yg berterusan..anda pasti akan Berjaya..jgn lupa berdoa pda ALLAH..kerana ALLAH sebaik2 perancangan…                        

sumber: dr. aina dani

No comments:

Post a Comment